MATEMATIK DI HATIKU

Thursday, September 29, 2011

Sifir 7

Sifir 7 merupakan salah satu sifir yang mendatangkan masalah pada anak-anak untuk dihafal. Bila nombor sifir yang perlu dihafal semakin besar, murid mula timbul rasa kurang minat dan akhirnya tidak berusaha untuk mencari alternatif bagi mengatasi masalah tersebut. Sebagai fasilitator, teknik mengira yang mudah perlu diperkenalkan kepada anak-anak agar anak-anak berminat untuk mempelajari sifir.

Slide ini mengajar anak-anak untuk mengetahui sifir tujuh tanpa terikat dengan cara lama yang mereka amalkan sebelum ini. Ketika slide ini ditayangkan, guru hendaklah memberi penerangan selari dengan apa yang dipaparkan. Untuk lembaran kerja pula, guru bolehlah menyediakan kotak kosong yang sama seperti dalam slide dan meminta untuk murid menjawab sifir 7 menggunakan kaedah yang telah diajar oleh guru. Cadangan saya, lembaran kerja diedarkan dalam langkah 4 proses P&P atau juga dijadikan aktiviti peneguhan.


Wednesday, September 28, 2011

Sifir 5 dan 6

Jam lama dibuang jangan. Apa kata ianya diguna pakai sebagai alat bantu mengajar untuk sifir 5 dan 6. Untuk sifir 5, guru hanya perlu menggunakan senggatan yang ada pada jam dan dibaca dalam gandaan 5 (mengikut minit jam). Untuk sifir 6, terdapat satu teknik mengira yang dapat membantu murid untuk menguasai sifir 6 dengan mudah. 


Guru bolehlah menayangkan video yang saya sediakan dalam langkah 1 ketika proses P&P. Video ini telah disertakan dengan penerangan bagaimana untuk memperolehi jawapan dengan bantuan jam. Sekiranya murid masih kurang jelas, guru bolehlah melakukan simulasi dalam langkah yang seterusnya. Untuk langkah 3 pula, saya mencadangkan agar murid diberi peluang menggunakan jam (aplikasi) untuk mencari jawapan bagi soalan yang berkaitan dengan sifir 6 (lembaran kerja). 


Saksikan video ini:

Tuesday, September 27, 2011

Sifir 4

Mengajar sifir dengan menggunakan kaedah penggandaan biasa kadangkala menimbulkan  masalah kepada murid apatah lagi bila langkah penggandaan dalam bentuk penambahan semakin panjang.

Contoh:

7 x 4 = 4 + 4 + 4 + 4 + 4 + 4 + 4

Berikut merupakah contoh untuk mengajar sifir 4 yang melibatkan pengandaan secara ringkas. Dalam penggunaan teknik ini, diandaikan murid telah menguasai sifir dua dengan baik.


Langkah:
1. Tambahkan nombor yang didarab dengan 4.
2. Jawapan yang diperolehi diganda dua.

Lihat contoh yang lain.


Apa kata cuba yang ini?



Pastinya murid-murid lebih teruja bila mengetahui ada cara lain untuk menguasai sifir 4. Sebagai guru, kita perlu mengaplikasikan teknik-teknik yang ada supaya anak didik dapat menemui satu cara yang serasi dengan mereka.

Sifir 3

Selain daripada menghafal.. mempelajari sifir dengan menggunakan teknik-teknik tertentu dapat menarik minat anak-anak untuk belajar sifir. Jom lihat teknik mengira sifir 3 yang mudah dan pasti dapat dikuasai oleh murid dalam tempoh yang singkat. Guru boleh menjalankan akktiviti ini dalam langkah 1 semasa proses P&P. Selain itu aktiviti ini boleh menjadi salah satu lembaran kerja dalam P&P cikgu. Lembaran kerja ini boleh diwarnakan supaya murid mendapat satu sifir 3 yang menarik.

Langkah-langkah:
1. Sediakan 9 petak kosong 3 x 3 dan 9 bulatan kosong 3 x 3 (rujuk contoh).


2. Masukkan nombor 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 dalam 9 bulatan bermula dari baris ketiga sebelah bawah ke atas (rujuk contoh).



3. Masukkan nombor 0 pada baris pertama, 1 pada baris kedua dan 2 pada baris ketiga (rujuk contoh). 


4. Ulang langkah 3 pada barisan petak yang seterusnya.


Sifir 3  telah pun siap sepenuhnya. 

Untuk langkah yang seterusnya, guru perlulah menerangkan bagaimana menggunakan kaedah sifir ini dengan betul iaitu guru perlu memaklumkan kepada murid dari mana mulanya 1 x 3  hingga pengakhirannya iaitu 9 x 3.

Monday, September 26, 2011

Nilai tempat dan nilai digit - Mana puluh ratus?

Nilai tempat dan nilai digit merupakan satu kemahiran yang mudah untuk dikuasai tetapi sering menjadi masalah kepada murid bila mereka keliru dalam memberikan jawapan. Untuk ini, penegasan harus diberi terhadap penggunaan perkataan nilai tempat dan nilai digit itu sendiri di mana nilai TEMPAT merujuk kepada jawapan dalam bentuk perkataan dan nilai DIGIT merujuk kepada jawapan dalam bentuk nombor.

Contoh perbezaan antara nilai tempat dan nilai digit.


Saya tertarik dengan pertanyaan daripada seorang rakan blogger yang bertanyakan di mana puluh ratus. 


Walaupun saya telah memberikan jawapannya.. nampaknya rakan kita ini masih belum berpuashati. Ada sesiapa yang boleh memberikan penjelasan? Mana tahu.. tetiba soalan ini diajukan pula oleh anak atau anak didik kita.  Sudi-sudikan berkongsi pendapat anda di sini.

Pengenalan

Syukur alhamdulillah.. setelah seharian suntuk memikirkan topik yang bersesuaian untuk dikongsikan.. akhirnya saya mengambil keputusan untuk memilih topik nombor bulat. Nombor bulat.. mengandungi kemahiran yang  meluas dan merupakan topik asas yang perlu dikuasai terlebih dahulu sebelum mendalami subjek matematik. Tanpa penguasaan terhadap kemahiran-kemahiran yang terkandung di dalam topik nombor bulat.. anak-anak akan menghadapi masalah untuk mendalami subjek matematik.

Apa yang saya kongsikan adalah berdasarkan pengalaman yang saya lalui sebagai guru matematik dan sumber-sumber lain yang diperolehi. Saya berharap blog ini dapat membantu guru-guru dan ibubapa mengukuhkan kemahiran asas matematik anak-anak kita supaya anak-anak kita cintakan matematik dan tidak menganggap subjek matematik sebagai satu subjek yang membebankan.